Assalammualaikum rakan-rakan.
Pada hari ini saya akan berkongsi mengenai Pemerolehan Bahasa Kedua.
Seperti biasa, saya akan menerangkan dahulu sedikit pengenalan berkaitan Pemerolehan bahasa kedua. Bahasa kedua boleh didefinisikan sebagai sebarang bahasa yang dipelajari selepas bahasa pertama atau bahasa ibunda. Bentuk bahasa pertuturan dipelajari terlebih dahulu dan proses pemerolehannya boleh berlaku dalam keadaan formal seperti belajar di sekolah atau tidak formal misalnya melalui bait-bait lagu.
Mari kita ke isi utama perbicangan kali ini ini. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pemerolehan bahasa kedua seseorang yang akan dikongsi pada hantaran kali ini. Antaranya, umur, personaliti, personaliti, motivasi, kecerdasan minda, dan cara belajar atau cara kognitif.
Umur
Faktor utama yang mempengaruhi pemerolehan bahasa kedua seseorang ialah faktor umur. Menurut Hipotesis Usia Kritikal yang dibuat oleh Lenneberg, umur yang sesuai untuk seseorang itu menguasai bahasa dengan mantap ialah sebelum mencapai tahap akil baligh.
Hal ini dikatakan demikian kerana pada masa itu, proses literasi otak belum berlaku. Beliau juga menambah bahawa proses pemerolehan bahasa iu akan bertambah sukar selepas tahap umur akil baligh kerana otak telah kekurangan kemampuan dan adaptasi. Kajian yang telah dijalankan oleh Hartshorne pada tahun 2018 mendapati bahawa kanak-kanak yang berusia 10-12 tahun mempunyai kemampuan yang lebih tinggi untuk menguasai bahasa kedua dengan baik berbanding dengan orang dewasa. Pengkaji lain seperti Oyama berpendapat bahawa kanak-kanak mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menguasai bahasa kedua dan penguasaan tatabahasa bahasa kedua dengan baik. Namun begitu, terdapat juga ahli yang berpandangan bahawa golongan dewasa juga mempunyai kemampuan yang tinggi untu memperoleh bahasa kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana penutur dewasa lebih terdedah untuk menggunakanya dengan betul semasa bertutur berbanding dengan kanak-kanak.
Personaliti
Faktor yang seterusnya ialah personaliti seseorang. Seseorang yang mempunyai sikap introvert dalam diri biasanya mempunyai perkembangan yang perlahan dalam penguasaan bahasa kedua ini. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka takut untuk melakukan kesilapan semasa bercakap menggunakan bahasa yang lain. Sebagai contoh, kesalahan semasa menggunakan kata ganti nama diri telah membataskan penggunaan bahasa yang baru mereka pelajari. Kesannya, mereka tidak akan mengaplikasikannya semasa berjumpa dengan penutur yang lebih mahir dan fasih dalam bahasa kedua tersebut. Namun begitu, ia berlainan dengan golongan yang berani mencuba. Kebiasaanya, golongan ini lebih cepat untuk menguasai bahasa kerana sering mengaplikasikannya semasa bercakap dengan penutur lain. Berbeza dengan personaliti golongan introvert, golongan ini lebih memilih untuk berani mengambil risiko dan bijak mencari peluang untuk meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa kedua walaupun masih baru dengan bahasa tersebut.
Motivasi
Selain itu, motivasi juga merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi pemerolehan bahsa kedua. Motivasi memainkan peranan yang penting dalam diri seseorang untuk mencapai sesuatu yang diinginkan olehnya. Logiknya, seseorang yang mempunyai motivasi atau sebab yang kukuh untuk melakukan sesuatu pasti akan lebih berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Hal ini dapat diaplikasikan dalam hal pemerolehan bahasa kedua. Motivasi ini boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu Motivasi Integratif (Integrative Motivation) dan Motivasi Instrumental (Instrumental Motivation). Motivasi integratif (Integrative Motivation) ialah motivasi yang disebabkan oleh minat seseorang dengan budaya sesuatu masyarakat. Sebagai contoh, seseorang akan memberikan usaha mereka yang terbaik dalam menguasai bahasa kedua kerana ingin mengikut idola atau artis dari luar negara yang diminati oleh mereka. Misalnya, mereka yang meminati artis korea akan lebih berusaha untuk menguasai bahasa tersebut demi memahami lirik lagu atau perbualan dalam drama dan filem yang menggunakan bahasa Korea. Motivasi instrumental (Instrumental Motivation) pula ialah satu matlamat yang berguna dan bermanfaat untuk menguasai bahasa kedua yang telah ditetapkan oleh individu. Sebagai contoh, impian yang tinggi untuk menyambung pelajaran ke universiti luar negara seperti Universiti Oxford menyebabkan seseorang itu lebih gigih untuk menguasai bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris.
Kecerdasan Individu
Di samping itu, faktor yang memainkan peranan dalam pemerolehan bahasa kedua seseorang ialah kecerdasan individu. Kejayaan dalam hidup dan pelajaran berkait rapat dengan tahap Darjah Kecerdasan Otak (Intelligence Quotient). Penutur yang mempunyai IQ yang tinggi lebih mudah untuk meguasai bahasa dengan mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang linguistik merupakan antara salah satu daripada lapan jenis kecerdasan yang telah diperkenalkan oleh Gardner dalam Theory Of Multiple Intelligences. Hal ini bermaksud, sekiranya seseorang individu itu mempunyai IQ yang tinggi dalam bidang Linguistik, dia akan lebih mudah untuk menguasai bahasa keduanya.
Cara Kognitif
Cara kognitif juga dipanggil cara belajar. Setiap orang mempunyai cara belajar yang berbeza. Sesetengah mereka lebih selesa untuk mendengar penjelasan dan huraian (Auditory Learners), sesetengahnya pula lebih tertumpu kepada penulisan dan nota (Kinesthetic Learners) dan ada juga yang memerlukan gambar untuk meningkatkan kefahaman (Visual Learners). Kesedaran individu mengenai cara pembelajaran yang paling sesuai sememangnya mampu meningkatkan perkembangan pemerolehan bahasa kedua dalam diri mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mengetahuai dengan terperinci cara yang efektif bagi mereka untuk menguasai bahasa kedua. Sebagai contoh, sekiranya mereka merupakan auditory learners, mereka boleh mempelajari bahasa kedua dengan cara mendengar lagu atau menonton rancangan televisyen yang menggunakan bahasa tersebut. Hal ini dapat memudahkan proses pembelajaran mereka sekaligus dapat meningkatkan perkembangan mereka dalam pemerolehan bahasa kedua.
Jadi, bagaimana? Adakah anda sudah faham berkaitan dengan faktor yang mempengaruhi pemerolehan bahasa kedua?
Saya harap info dan maklumat yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat menambah ilmu pengetahuan rakan-rakan semua berkaitan Pemerolehan Bahasa Kedua ini.
Sekian, terima kasih.đ
Rujukan
Alicia Miller. (2016). 9 Factors that Influence Language Learning. Dimuat turun pada 25 November, 2022, dari https://www.google.com/amp/s/www.whitbyschool.org/passionforlearning/9-factors-that-influence-language-learning%3fhs_amp=true.
Bahasa, P., Menurut, K., Krashen, S., Cahya, A., Dan, S., Syam', M., & Salim, U. (2013). Pemerolehan Bahasa Kedua Menurut Stephen Krashen. Pemerolehan Bahasa Kedua, 8(2), 16. Retrieved from https://ejournal.unida.gontor.ac.id/index.php/tadib/article/download/504/445
Khazriyati Salehuddin. (2018). Psikolinguistik : Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Selangor : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muriel Saville-Troike. (2013). Introducing Second Language Acquisition. Abingdon : Routledge.
Terbuka tv. (2016, November 4). PBIN4327 Psikolinguistik - Pemerolehan Bahasa Kedua. Retrieved December 14, 2022, from www.youtube.com website: https://www.youtube.com/watch?v=ZdQ2arw8bso
Zulkeflee Haji Yaacob. (2022). Bahasa Linguitik Komperatif. Kota Bharu, Kelantan : Bunga Melayu Solutions.




No comments:
Post a Comment