Hai semua!
Pernahkah anda menonton filem Taare Zameen Par lakonan Aamir Khan? Filem ini mengisahkan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami masalah disleksia sehingga dibenci oleh ayahnya. Filem ini berkait rapat dengan tajuk yang akan saya ulas pada hari ini.
Apa itu disleksia? Adakah ia suatu penyakit yang serius? Mari kita lihat.
Disleksia mempunyai pelbagai definisi yang tersendiri berdasarkan dari sudut pandangan yang berbeza. Menurut World Federation Of Neorology (1968), disleksia ialah suatu gangguan dalam diri kanak-kanak yang telah menerima kualiti dan tahap pendidikan yang biasa seperti kanak-kanak seusianya tetapi tidak dapat menguasai kemahiran bahasa, bacaan, menulis, dan mengeja yang setaraf dengan intelek. Dari sudut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula, murid yang mengalami deslaksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental dan fikiran yang sama atau lebih daripada murid lain tetapi mempunyai masalah yang besar dalam kemahiran mengeja, membaca, dan menulis. Sebagai contoh, tidak dapat membezakan huruf ‘p’ dan ‘q’ serta sukar mengingati perkataan dalam Bahasa Inggeris misalnya “head” dengan “hair”. Menjawab kepada persoalan kedua, adakah ia suatu penyakit yang serius? Jawapannya tidak. Disleksia hanyalah sebuah gangguan pembelajaran dan bukanlah sejenis penyakit. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka hanya mempunyai gangguan pembelajaran tetapi mereka mempunyai pemikiran yang normal.
Jadi, adakah mereka golongan yang bodoh?
Kebanyakan manusia menganggap orang yang lambat dalam proses pembelajaran ialah golongan yang bodoh. Namun begitu, kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh atau kurang bijak. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat kajian yang menjelaskan bahawa tahap kecerdasan intelektual mereka adalah normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Jadi, dapat disimpulkan bahawa mereka adalah manusia normal yang hanya mengalami sedikit gangguan pembelajaran.
Sudah jelas mengenai pengenalan disleksia, bukan? Sekarang, mari kita rungkai dengan lebih mendalam mengenai masalah ini!
Terdapat beberapa faktor penyebab disleksia. Antara puncanya ialah keturunan, pemakanan, bawaan, dan biologi.
i. Keturunan
Seorang kanak-kanak lebih cenderung untuk menghadapi masalah ini sekiranya ia telah dihadapi oleh abang, ibu atau bapa, atau ahli keluarga mereka yang lain. Kajian daripada Barat mendapati bahawa kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai sejarah keluarga yang turut mempunyai masalah sindrom berkenaan. Hal ini telah berjaya dibuktikan oleh Hallgren (1970) dalam sebuah kajiannya. Beliau telah membuat penyelidikan ke atas 12 pasangan kembar monozygote dan hasilnya kesemua keluarga 12 pasangan tersebut mempunyai masalah dalam pembelajaran. Kajian tersebut juga mendapati bahawa gangguan ini lebih cenderung dihadapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan dengan nisbah 3:1. Menurutnya, hal ini berpunca daripada orang lelaki yang lebih banyak memikul tanggungjawab berbanding orang perempuan. Selain itu, disleksia juga cenderung kepada keluarga yang mempunyai anggota kidal.
ii. Pemakanan
Nutrisi yang cukup merupakan syarat utama kepada tumbesaran kanak-kanak yang normal. Ia didorong oleh pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat mengikut garis panduan piramid makanan. Hal ini bagi memastikan kanak-kanak memperoleh zat-zat yang diperlukan dalam badan seperti mineral, protein, dan vitamin. Sekiranya kanak-kanak tidak mendapat nutrisi yang cukup, maka mereka akan mengalami masalah pertumbuhan yang terencat. Tambahan pula, terdapat beberapa kajian dan penyelidikan telah membuktikan bahawa unsur penyedap makanan, bahan awet, dan pewarna tiruan dikenal pasti telah menjadi pengganggu otak kepada kanak-kanak jika ia terus diambil secara berlebihan dan berterusan dalam tempoh yang lama. Sebagai contoh, pengambilan laktosa dalam sosej dan tartazine dalam minuman berkabonat. Sekiranya kanak-kanak terus mengambil makanan ini tanpa pantauan dari orang dewasa atau ibu bapa, pastinya risiko untuk mereka menghadapi masalah disleksia adalah lebih tinggi.
iii. Bawaan
Masalah pendengaran kanak-kanak boleh berlaku sejak dia dilahirkan. Hal ini dikatakan demikian kerana pada usia lima tahun sejak kelahiran, mereka sering mengalami masalah selsema dan jangkitan kuman pada bahagian tengkorak di mana ia akan mempengaruhi pendengaran dan perkembangannya sehingga boleh menyebabkan kecacatan. Untuk mengesahkan masalah ini, pemeriksaan intensif dan terperinci perlu dilakukan oleh doktor pakar. Jika ia tidak dapat dikesan sejak awal, maka otak kanak-kanak yang sedang berkembang akan sukar untuk menghubungkan bunyi yang didengar dengan huruf yang dilihatnya. Hal ini secara tidak langsung akan mengganggu perkembangan kemampuan bahasa yang mana akan menimbulkan masalah jangka masa yang panjang jika ia tidak ditangani dengan segera oleh doktor pakar.
iv. Biologi
Kanak-kanak disleksia biasanya mempunyai sejarah kelahiran seperti lahir tidak cukup bulan dan kekurangan oksigen. Sebahagian daripada kerosakan otak inilah yang memyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah pembelajaran dan kerosakan ini minimum. Menurut pensyarah Psikologi Klinikal dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Azhar Md. Zain, kerosakan otak yang dialami golongan disleksia berkemungkinan terbentuk sejak mereka dalam kandungan lagi. Setakat ini, individu yang mengalami disleksia memang mengalami kerosakan saraf pada bahagian otak kiri mereka yang mana memberi kesan kepada fungsi bahagian otak kiri tersebut.
Adakah disleksia akan hilang? Ataupun ia akan kekal selama-lamanya?
Disleksia ialah isu hubungan otak dengan bahasa. Oleh itu, mereka mengalami kesukaran menyahkod perkataan. Mereka sering bergelut dengan ejaan dan menghadapi masalah dengan menulis. Masalah dengan ingatan juga boleh memainkan peranan dalam kesukaran membaca. Selain itu, kanak-kanak disleksia membuat lebih banyak kesilapan semasa membaca berbanding kanak-kanak lain. Maka, mereka menghabiskan lebih banyak masa untuk menyemak semula teks yang baru mereka lihat untuk memastikan mereka telah membacanya dengan betul. Itulah sebabnya isu membaca mungkin berterusan walaupun selepas kanak-kanak telah belajar membaca. Hal ini membuktikan bahawa disleksia tidak hilang. Meskipun tidak boleh disembuhkan, ia masih boleh diatasi dengan cara dan teknik belajar yang khusus. Kesimpulannya, kita perlulah memberikan perhatian dan sokongan kepada mereka yang menghadapi disleksia. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat juga mereka yang berjaya dari golongan yang pernah menghadapi disleksia.
Sekian, terima kasih.
Rujukan
Dr. Aminah binti Kassim. (2020). Apa Itu Disleksia. Dimuat turun pada 27 November, 2022 dari http://www.myhealth.gov.my/disleksia/
Farhana. (2011, September 12). Disleksia - PORTAL MyHEALTH. Retrieved from PORTAL MyHEALTH website: http://www.myhealth.gov.my/disleksia/
Mazira Mohamad Ghazali. (2015). Masalah Disleksia. Dimuat turun pada 27 November, 2022, dari https://www.majalahsains.com/penyakit-disleksia/
Norul Haida Bt Hj Reduzan. (2022). Ilmu Psikolinguistik. Perak : Emeritus Publications.
Viknarajan. (2020). Apakah Ciri-Ciri dan Masalah Kanak-Kanak Penghidap Disleksia
.jpeg)
.jpeg)








